TOKYO: Ribut tropika Ampil dijangka menjadi taufan ketika ia menghampiri timur Jepun esok, menyebabkan pembatalan perkhidmatan pengangkutan awam.
Taufan ketujuh tahun ini, bergerak ke utara, dijangka melanda wilayah Kanto pada hujung minggu yang bertindih dengan cuti Bon negara itu.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) meramalkan hujan lebat di wilayah Kanto-Koshin menjelang Sabtu.
Kawasan Kanto boleh mengalami angin kencang sehingga 60 meter sesaat pada Jumaat.
Pengendali kereta api laju, Central Japan Railway Company berkata, semua perkhidmatan Tokaido Shinkansen antara Tokyo dan Nagoya akan dibatalkan esok.
Dalam pengumuman semalam, syarikat itu berkata, pihaknya juga mungkin membatalkan perkhidmatan untuk laluan Sanyo Shinkansen, yang bersambung terus ke laluan Tokaido di Osaka.
Syarikat Kereta Api Jepun Timur juga memaklumkan kemungkinan kelewatan dan pembatalan perkhidmatan untuk laluan Tohoku, Joetsu, Hokuriku, Akita dan Yamagata Shinkansen dari sekitar tengah hari hingga lewat petang esok.
Beberapa penerbangan ke dan dari lapangan terbang Haneda dan Narita juga dibatalkan pada Jumaat.
Syarikat penerbangan kini bersedia untuk lebih banyak pembatalan atau kelewatan, selain sekatan lebuh raya termasuk penutupan jalan mungkin dilaksanakan.
JMA turut mengeluarkan amaran untuk angin kencang, ombak kuat dan hujan lebat, menggesa orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta menasihatkan pengembara sentiasa mengemas kini perkembangan terkini taufan.- XINHUA











