TOKYO: Menteri Digital, Taro Kono semalam mengumumkan akan bertanding jawatan Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP), dalam cubaan kali ketiganya untuk menjadi Perdana Menteri Jepun.
Beliau adalah pemimpin ketiga yang mengumumkan hasrat bersaing dalam merebut jawatan ditinggalkan Fumio Kishida, bulan depan.
Kono, 61, tewas kepada Kishida dalam pemilihan Presiden LDP pada 2021.
Beliau yang juga anggota Dewan Perwakilan bagi penggal kesembilan sering dilabelkan sebagai ahli politik yang liberal dan lantang.
Sebagai graduan Georgetown University di Amerika Syarikat, beliau fasih berbahasa Inggeris dan pernah menjadi Menteri Luar serta Menteri Pertahanan.
Pada pemilihan Presiden LDP 2021, Kono membentuk pakatan bersama Shinjiro Koizumi dan Shigeru Ishiba.
Ishiba, 67, mengumumkan akan bertanding jawatan sama kelmarin, yang disifatkan sebagai cubaan terakhir sepanjang 38 tahun karier politiknya.
Manakala, bekas Menteri Keselamatan Ekonomi, Takayuki Kobayashi, 49, menjadi pemimpin pertama menyatakan hasrat bertanding.
Koizumi, 43, yang pernah memegang jawatan Menteri Alam Sekitar juga dijangka mengumumkan pencalonannya sebagai Presiden LDP.
Memandangkan LDP adalah parti pemerintah, Presiden parti secara automatik dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun.- AGENSI










