Tapak kaki dinosaur dedah laluan purba

Tapak kaki dinosaur dedah laluan purba

DUA kesan tapak kaki dinosaur dari Lembangan Koum di Cameroon boleh dilihat di tempat yang pernah menjadi lembangan 120 juta tahun dahulu.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEXAS: Jejak tapak kaki dinosaur yang serupa ditemui di Afrika dan Amerika Selatan, mendedahkan laluan purba pernah dilalui haiwan gergasi berkenaan kira-kira 120 juta tahun lalu, sebelum kedua-dua benua tersebut berpisah.

Kajian didedahkan oleh Muzium Sejarah Semula Jadi & Sains New Mexico semalam, mengesan lebih 260 jejak kaki dinosaur dari Zaman Cretaceous Awal di Brazil dan Cameroon, yang kini dipisahkan oleh Lautan Atlantik sejauh lebih 6,000 kilometer.

Pakar paleontologi, Louis L. Jacobs yang juga pengarang utama kajian di Southern Methodist University di Texas berkata, jejak itu didapati serupa dari segi umur, bentuk dan konteks geologi.

“Jejak kaki itu dikesan pada lumpur serta mendapan di sepanjang sungai dan tasik yang pernah wujud di benua purba yang besar, Gondwana,” katanya.

Tambah Jacobs, salah satu stuktur geologi yang paling muda dan sempit antara Afrika dan Amerika Selatan adalah kawasan di timur laut Brazil berhampiran pantai Cameroon, yang kini terletak di sepanjang Teluk Guinea.

“Kedua-dua benua ini terletak bersebelahan di sepanjang jalur sempit itu, jadi haiwan di kedua-dua kawasan berpotensi bergerak melintasinya,” ujar beliau.

Sementara itu, penulis bersama kajian, Diana P. Vineyard berkata, kebanyakan jejak fosil itu dihasilkan oleh dinosaur theropod berjari tiga, manakala yang lain mungkin milik dinosaur sauropod berkaki empat yang besar dengan leher dan ekor panjang atau ornithischians, yang mempunyai struktur pelvis yang mirip dengan burung.

Katanya, jejak itu mendedahkan pergerakan daratan dinosaur sebelum benua purba terpecah menjadi tujuh benua yang kita kenali hari ini.

Benua Afrika dan Amerika Selatan mula terpisah sekitar 140 juta tahun lalu, yang mengakibatkan plat tektonik di bawah kedua-dua kawasan menjauh sehingga membentuk kerak lautan baharu yang kini diisi Lautan Atlantik Selatan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×