ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki tidak sempat ‘berjoli’ hasil jualan dadah apabila dicekup polis di Puteri Harbour, di sini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada pukul 5.45 petang, Sabtu lalu bersama-sama dadah pil erimin 5 dan heroin yang disembunyikan dalam beg sandangnya yang dianggarkan bernilai RM12,300.
“Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Iskandar Puteri telah menjalankan satu operasi di sekitar kawasan Puteri Harbour dan berjaya menahan seorang lelaki bersama sejumlah dadah, iaitu 500 biji pil erimin 5 bernilai RM10,000 dan 91.96 gram heroin bernilai RM2,300,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Polis turut menyita motosikal yang digunakan suspek yang dianggarkan bernilai RM6,000.
Kumarasan berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu hanya mengedarkan dadah berkenaan kepada pelanggan yang dikenalinya dan bukan diedarkan di pusat hiburan.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod mendapati dia mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah narkotik.
“Suspek direman selama enam hari bermula Ahad lalu hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sambil berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah dan jenayah yang berlaku di sekeliling mereka dengan menghubungi talian 07-5113622 atau 07-5114486. – UTUSAN










