TAPAH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah, Tapah Road di sini hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan isteri, Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib.
Majlis bersejarah perasmian cawangan UiTM kedua di negeri ini dimulakan dengan lagu kebesaran negeri Perak, bacaan ayat suci al-Quran dan doa sebelum Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak perasmian.
Shahrin dalam sembah ucapannya berkata, perasmian UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah merupakan asas yang kukuh bagi sebuah universiti berasaskan sains dan teknologi yang perlu diperluas peranannya dalam pembangunan, penyelidikan dan inovasi dalam negara.
“UiTM telah membuktikan pelbagai kejayaan dan kecemerlangan warganya hingga ke peringkat antarabangsa antaranya QS World University Rankings 2024 telah melonjak 102 anak tangga kepada kedudukan ke-555 di peringkat dunia dan yang ke-10 terbaik di negara ini.
“Selain itu, UiTM turut meraih kedudukan berprestij dengan berada pada kedudukan ke-98 dan tersenarai dalam 100 universiti terbaik Asia dalam penarafan QS Asia University Rankings 2024,” katanya.
UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah mula beroperasi pada 1 Disember 2010 dan mampu menampung sehingga 5,000 pelajar dengan fasiliti kediaman seramai 2,500 pelajar.
Kampus moden dengan fasiliti serba canggih itu menawarkan tujuh program utama di Fakulti Perakaunan dan Fakulti Sains Gunaan serta Kolej Pengajian Perkomputeran, Informatik dan Matematik.
Dalam pada itu, Zambry dalam sembah ucapannya berkata, pelbagai tindakan perlu dilakukan bagi memastikan bakal graduan institusi pengajian tinggi sentiasa bersedia untuk memasuki alam pekerjaan.
“Generasi muda pada masa kini berhadapan dengan evolusi teknologi yang begitu pantas dan berdepan pelbagai masalah seiring dengan lajunya arus teknologi bukan sahaja di dalam bidang mereka malah dalam kehidupan seharian.
“Institusi pengajian tinggi perlu memastikan pendidikan dan pembelajaran sentiasa dikemaskini menurut keperluan semasa,” katanya. – UTUSAN










