Suami isteri antara tujuh ditahan, dadah bernilai RM10 juta dirampas - Utusan Malaysia

Suami isteri antara tujuh ditahan, dadah bernilai RM10 juta dirampas

Ketua Polis Johor M. Kumar menunjukkan gambar suspek pengedaran dadah yang dikhendaki polis Lo Show Shang pada sidang media di IPK, Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri antara tujuh ahli sindiket pengedaran dadah yang ditahan polis Johor bersama dadah bernilai lebih RM10 juta menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini pada 12 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kesemua suspek ditahan terdiri daripada lima lelaki warga tempatan serta dua wanita asing berusia antara 22 hingga 38 tahun.

Menurut beliau, kesemua mereka ditahan dalam serbuan dijalankan bermula pukul 12.30 tengah hari sehingga 2 petang di dua unit pangsapuri dan sebuah rumah teres.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan rumah kediaman sewa di kawasan komuniti ‘gated and guarded’ sebagai lokasi proses dan pembungkusan sebelum diedar ke pasaran.

“Antara dadah dirampas termasuklah 59,627 gram (g) serbuk ekstasi: 93.40g ketamin; 79g pil ekstasi; 103.1g pil Eramin 5 dan 41g ganja bernilai RM10,001,122,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Tambah Kumar, semakan mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah manakala ujian urin menunjukkan enam daripada mereka positif dadah jenis meth, ketamin dan benzo.

“Jika semua dadah ini dibiarkan di pasaran, ia boleh digunakan seramai 199,644 orang penagih.

“Selain itu, polis turut menyita pelbagai barangan antaranya empat buah kereta, sebuah motosikal, pelbagai barangan kemas serta wang tunai matawang tempatan dan asing dengan nilai RM235,257.

“Keseluruhan rampasan melibatkan dadah dan sitaan bernilai RM10.23 juta. Ini merupakan jumlah rampasan dadah kedua tertinggi di Johor, tahun ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN