Speaker Johor serah notis kekosongan kerusi DUN Mahkota kepada SPR - Utusan Malaysia

Speaker Johor serah notis kekosongan kerusi DUN Mahkota kepada SPR

NOTIS kekosongan kerusi DUN Mahkota yang diserahkan Mohd. Puad Zarkashi kepada pihak SPR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Mahkota kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, Jumaat lalu.

Mohd. Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkata, notis berkenaan adalah untuk tindakan lanjut oleh SPR.

“Pagi ini saya memaklumkan kepada pihak SPR melalui hantaran faks mengenai kekosongan kerusi DUN dalam kawasan Mahkota kerana penyandangnya meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

“Justeru, pihak Dewan Negeri Johor menyerahkan kepada SPR untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sharifah Azizah, 63,  menghembuskan nafas terakhir di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, pukul 12.32 tengah hari kelmarin.

Anak kelahiran Kluang yang lahir pada 8 Disember 1960 merupakan Ketua Wanita UMNO Kluang sejak 1993 hingga kini dan pernah menyandang jawatan Ketua Wanita UMNO Johor (2015-2018).

Beliau menang kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022 dan sebelum itu merupakan ADUN Penawar mulai 2018 hingga 2022.

Sharifah Azizah meninggalkan empat cahaya mata, iaitu Wan Mohd. Hibatullah, 40, Wan Mohd. Hazwan, 39, Wan Mohd. Hasbullah, 34, dan Wan Harizahtul Nadia, 33. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×