ALOR GAJAH: Siasatan pembunuhan kejam seorang guru wanita, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, masih berjalan dan mengambil masa untuk dilengkapkan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, semua pihak diminta bersabar dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menyiasat.
Katanya, pendedahan terlalu banyak maklumat dikhuatiri akan mengganggu siasatan.
“Buat masa ini siasatan masih (dan) belum selesai sepenuhnya. Masih banyak tindakan yang perlu diambil oleh pihak polis untuk memastikan siasatan kes ini dapat dapat dilengkapkan.
“Saya tidak dapat menjawab dan berkongsi (perkembangan kes) di sini kerana bimbang akan menganggu siasatan. InsyaAllah jika semuanya telah selesai satu siaran media kes ini akan dibuat oleh Datuk Wira KP Melaka (Datuk Zainol Samah),” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada pertanyaan pemberita berhubung status terkini perjalanan siasatan kes berkenaan.
Sementara itu, Ashari memaklumkan setakat ini jenazah Allahyarhamah Istiqomah masih belum boleh dituntut oleh ahli keluarga.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, kehilangan seorang guru sejak Disember tahun lalu terjawab selepas mayat wanita yang dibunuh kejam dan disumbatkan ke dalam tong sampah sebelum dibuang ke dalam longkang di Kampung Rimau disahkan sebagai Istiqomah.










