Sewa tanah penuhi impian jadi petani

Sewa tanah penuhi impian jadi petani

ZURAIDAH Mohd. Noor menunjukkan buah jagung yang dituai di kebunnya di Kampung Nyatuh, Setiu, semalam. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Sepasang suami isteri mengambil inisiatif menyewa tanah terbiar di Kampung Nyatuh, di sini, untuk bercucuk tanam bagi memenuhi impian menjadi petani.

Menurut Zuraidah Mohd. Noor, 40, dia dan suaminya, Azmi Abdullah, 47, mengambil pendekatan itu sejak 10 tahun lalu setelah mereka tidak memiliki tanah sendiri.

“Melihat tanah berkenaan tidak digunakan dan terbiar, saya dan suami memajak tanah seluas 1.6 hektar dengan harga RM100 setahun untuk mengusahakan tanaman tembikai dan jagung.

“Dengan cara ini bukan hanya dapat memanfaatkan tanah dan memberi sumber pendapatan kepada kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Nyatuh, di sini, semalam.

Beliau memberitahu, dia mengusahakan tanaman jagung dan tembikai secara bergilir-gilir mengikut musim tanaman itu.

Katanya, pada suku pertama tahun ini, tanah berkenaan ditanam tembikai dan dituai pada bulan April hingga Mei lalu sebelum menanam jagung.

“Hasil jualan buah jagung yang diusahakan itu agak lumayan apabila boleh mencecah RM10,000 bagi satu musim,” katanya.

Tambah Zuraidah, dia menanam dua jenis jagung iaitu jagung madu dan mutiara yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Ujarnya ibu kepada tiga cahaya mata itu, buah jagung berkenaan dijual pada harga RM5 hingga RM10 untuk lapan biji mengikut gred, manakala harga borong serendah RM1 sebiji.

“Sebahagian daripada buah jagung tersebut saya jual kepada pemborong dan dijual sendiri dengan menjaja di tepi jalan berdekatan rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN