KUALA LUMPUR: Paras air yang berubah-ubah selain arus laju menjadi cabaran dihadapi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika tugas operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam lubang benam di Jalan Masjid India.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, setiap operasi SAR mempunyai risiko yang berbeza dan keunikannya
Kata beliau, setiap operasi dilaksanakan perlu mengambil kira perancangan taktikal, input pakar untuk dirumus dan implikasi tindakan yang diambil selain kesa domino (domino effect).
“Banyak cabaran anggota kita perlu hadapi sepanjang lapan hari SAR ini diaktifkan.
“Cabarannya adalah pelbagai termasuk perlu berdepan gas beracun, ruang sempit, tekanan halaju air, kestabilan permukaan dan kesukaran pelepasan diri.
“Keadaan ini, mencabar keberanian anggota dan pihak bomba dalam membuat keputusan,” katanya.
Terdahulu, SAR wanita warga India yang hilang dalam lubang benam di Jalan Masjid India di sini dihentikan pihak bomba pada pukul 5 pagi tadi.
Keputusan itu diambil selepas pihaknya mendapati operasi secara fizikal selam skuba berisiko tinggi dan sekali gus jabatan itu sudah mencadangkan penggunaan kaedah lain.
Katanya, JBPM akan memberi nasihat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mencari kaedah SAR lain pada mesyuarat petang ini.