JOHOR BAHRU: Seramai 17 individu dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Ibrahim ditahan dalam serbuan serentak di empat daerah negeri ini, Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, operasi bersepadu itu disertai Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Cawangan Khas Bukit Aman serta Cawangan Khas Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Johor di Pontian, Batu Pahat, Muar dan Segamat.
“Tujuan operasi ini dijalankan adalah untuk membanteras penyebaran ajaran dan fahaman Millah Ibrahim. Ajaran tersebut telah difatwakan sesat di negeri ini pada 30 Julai 2015 dan diwartakan pada 28 April 2016 sebagai ajaran yang menyimpang daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Kesemua individu yang ditahan akan dihadapkan ke mahkamah pada Selasa ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kerajaan negeri memberi amaran akan mengambil tindakan tegas bagi membanteras penyebaran ajaran sesat berpandukan enakmen dan perundangan.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan ajaran yang menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, malah mereka hendaklah melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan ajaran yang mencurigakan,” katanya.
Sebelum ini, Mohd. Fared memaklumkan lima daripada keseluruhan 19 fahaman dan ajaran sesat telah difatwakan haram di negeri ini oleh JAINJ sedang dipantau rapi.
Lima ajaran itu adalah Syiah, Hizbur Tahrir, Millah Abraham, Suhaini Mohammad (Sihulk) dan Qadiani. -UTUSAN










