BATU PAHAT: Seramai 11 lelaki dan tiga wanita dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah, di sini hari ini atas pertuduhan memiliki bahan penerbitan agama bertentang hukum syarak.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohd Syahir Sahab.
Kesemua tertuduh didakwa memiliki bahan penerbitan agama bertentang hukum syarak dan mengingkari pihak berkuasa agama.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 13(1) (b) dan Seksyen 9 Enakmen Jenayah Negeri Johor 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan serta dikenakan perlucutan hak dan menjalani sesi kaunseling.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan semua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.
Prosiding hari ini bagi memindahkan kes mengikut daerah masing-masing selari dengan Seksyen 67 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2003.
Terdahulu, semua tertuduh dibawa ke mahkamah dengan menaiki van penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada pukul 9.45 pagi dengan kawalan polis dan penguat kuasa JAINJ.
Difahamkan seorang pengikut didakwa di Mahkamah Majistret Muar semalam, manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan dan dijadikan saksi pendakwaan. – UTUSAN










