Sebar ajaran selain ahli sunnah kesalahan jenayah

Sebar ajaran selain ahli sunnah kesalahan jenayah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebarang penyebaran ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) akan dikuatkuasa sebagai kesalahan jenayah syariah selepas pindaan undang-undang berkaitan dilaksanakan Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan.

Mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), sekiranya dituduh di bawah Seksyen 3 melibatkan doktrin palsu, sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM5,000, penjara tidak melebihi tiga tahun, enam sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, satu tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan kerana pada masa ini terdapat kekangan undang-undang untuk diteruskan pendakwaan di mahkamah syariah.

Jelasnya, proses pindaan bagi kesalahan jenayah syariah melalui medium media sosial kini dalam penelitian Jabatan Peguam Negara untuk semakan bagi memastikan penyebaran ajaran sesat dapat dikekang daripada tersebar kepada masyarakat.

“Penyebaran ajaran sesat di media sosial oleh kumpulan yang berpangkalan di luar negara, tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan hanya boleh diambil bilamana kumpulan tersebut kembali ke Malaysia.

“Ini kerana undang-undang jenayah syariah terhad kepada bidang kuasa negeri tanpa bidang kuasa extra-territorial (wilayah asingan). Terdapat juga keperluan ajaran tersebut difatwakan sebagai sesat bagi membolehkan tindakan pendakwaan berjalan lancar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, setakat ini terdapat 17 ajaran sesat masih aktif dalam radar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) termasuk Millah Abraham, Sihulk, The Ahmadi Religion of Peace and Light, Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) dan Hadi Minallah.

Bagaimanapun, nama ajaran-ajaran sesat lain tidak disebut secara jelas atas beberapa faktor strategik.

Jelasnya, bagi ajaran sesat beroperasi di luar negara dalam pemerhatian Jakim ialah ajaran SiHulk @ Suhaini bin Mohamad yang kini berada di New Zealand dan The Ahmadi Religion of Peace and Light di United Kingdom.

Mengulas lanjut, katanya, tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan boleh diambil ke atas kumpulan ajaran sesat yang aktif menyebarkan fahaman di Wilayah Persekutuan.

Katanya, ia tertakluk di bawah Seksyen 3 hingga 13 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta559).

“Kerjasama baik antara pegawai penguat kuasa agama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan atau Bahagian Pendakwaan Syariah negeri-negeri turut membantu dalam menyekat perkembangan kumpulan ajaran sesat di negara ini.

“Dalam usaha ini juga, Bahagian Penguatkuasaan Ja­batan Agama Islam Negeri-Negeri perlu diperkasa bagi menguatkuasakan peruntukan undang-undang jenayah syariah dengan teratur dan tersusun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN