BATU PAHAT: Seorang pelajar tingkatan tiga di sini ditahan kerana didakwa melakukan hubungan seks dengan rakan sebayanya pada Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, turut ditahan seorang lelaki berusia 46 tahun kerana didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja yang sama pada 25 Julai lalu.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan pada pukul 9.20 hingga 9.45 malam, 15 Ogos di dua lokasi berbeza selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 15 tahun pada pukul 2.03 petang hari yang sama.
“Menurut laporan daripada remaja itu, dia mengatakan telah melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya yang juga pelajar tingkatan tiga pada bulan Jun tahun ini.
“Pengadu turut menyatakan pada 25 Julai lalu, sewaktu pengadu sedang mandi di sebuah kolam renang di kawasan Batu Pahat bersama teman lelakinya dan seorang lagi kenalan mereka, iaitu seorang lelaki berumur 46 tahun, lelaki itu telah menggeselkan kemaluannya ke punggung dan menyentuh bahagian payudara pengadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Shahrulanuar Mushaddat, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 22 Ogos untuk membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan rogol yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes juga disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, iaitu kesalahan amang seksual fizikal yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan. -UTUSAN