GEORGE TOWN : Parlimen kini sedang melalui beberapa proses reformasi atau pembaharuan dalam usaha meningkatkan tahap ketelusan institusi itu selain memperkasa peranan generasi muda pada masa depan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, antara proses tersebut termasuk mengukuhkan semula Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) untuk memastikan wujudnya peranan ‘semak dan imbang’ dalam kerajaan.
Katanya, PSSC ini telah diberikan ‘wajah baharu’ dan jawatankuasa tersebut juga kini berperanan untuk ‘melengkapi’ Kabinet dalam sesetengah isu yang mungkin terlepas pandang atau kurang diberi perhatian sebelum ini.
“Kita telah naikkan ‘standard’ mereka (PSSC) agar mereka boleh memberi nasihat dalam beberapa perkara. Pada masa yang sama, kita juga benarkan mereka untuk memanggil sesiapa sahaja untuk bertanyakan soalan atau menjalankan siasatan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini dengan diiringi oleh Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang.
Dalam perkembangan lain, Johari memberitahu, siasatan masih dijalankan terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung kenyataannya berkait kes mahkamah yang dihadapi semasa bersidang di Dewan Rakyat pada 28 Februari dan 21 Mac lalu.
Kata beliau, siasatan itu dibuat bagi menentukan sama ada dakwaan Wan Saiful boleh mengelirukan serta merosakkan kepentingan pihak berkaitan atau sebaliknya.
“Siasatan masih berjalan. Beliau akan dipanggil untuk berhadapan dengan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen pada masa yang sesuai nanti,” ujar Johari.-UTUSAN










