Reformasi menyeluruh perkhidmatan awam

Reformasi menyeluruh perkhidmatan awam

PENJAWAT awam disaran memilih skim Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi membolehkan mereka menikmati manfaat ditawarkan kerajaan bermula Disember ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan melaksanakan reformasi menyeluruh perkhidmatan awam yang mengutamakan produktiviti le­bih tinggi bagi memastikan ke­sediaan dalam membawa perubahan sekali gus meningkatkan daya saing negara.

Pelaksanaan reformasi itu berteraskan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Disember ini atas dasar ­keprihatinan kepada penjawat awam yang banyak berkorban demi memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan sebaik­nya.

Reformasi itu menyaksi­kan kira-kira 1.6 juta penjawat awams menikmati julat peningkatan pendapatan antara 16.8 peratus hingga 42.7 peratus selain perubahan rangka kerja pencen dan persaraan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SSPA adalah satu sistem saraan yang berteraskan prestasi.

Beliau menjelaskan, mereka yang cemerlang akan dapat ganjaran dan mereka yang ­gagal mempamer prestasi yang baik, akan dikenakan tindakan.

“Sebagaimana yang selalu saya tegaskan, kita tidak boleh sewenang-wenangnya membe­rikan layanan yang sama kepada semua terutama dalam aspek ganjaran dan pengiktirafan.

“Saya mahu mesejnya jelas supaya penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik, culas, sering tidak hadir ke pejabat tanpa kelulusan Ketua Jabatan tidak akan diberikan ganjaran

“Secara prinsipnya, kita ma­hu hanya yang benar-benar layak sahaja diberikan ganjaran se­perti yang dijanjikan. Selaras de­ngan hasrat untuk memastikan peningkatan produkti­viti dalam perkhidmatan awam dan menjaga kesejahteraan pegawai, prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan diperkenalkan,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 10,000 penjawat awam pada majlis Ama­nat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Kali Ke-19, di sini semalam.

Perdana Menteri berkata, dalam aspek mengoptimumkan sum­ber dan peningkatan pro­duktiviti, kerajaan bersetuju me­­lak­sanakan beberapa perubahan antaranya meningkatkan kelayakan masuk minimum ke dalam perkhidmatan awam kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setara.

Seiring dengan peningkatan syarat lantikan ini, beban dan kompleksiti tugas sedia ada akan ditambah dan ditingkatkan dengan menggalakkan penugasan berbilang multitasking dan kemahiran berbilang multi-skilling dalam kala­ngan pegawai sebagai pula­ngan kepada kerajaan.

Pada masa sama, skim perkhidmatan yang mempu­nyai fungsi perkhidmatan tidak relevan, bertindih dan terpencil akan dipindahkan kepada skim perkhidmatan lain.

Selain itu, kerajaan menye­ragam dan mengkelaskan semula gred jawatan secara menyeluruh berdasarkan ke­perluan semasa Perkhidmatan Awam dengan meminda syarat lantikan bagi 17 skim perkhidmatan bagi memperoleh bakat terbaik berkhidmat di dalam perkhidmatan awam selari evolusi teknologi dan dasar pendidikan semasa.

“Saya juga mahu JPA melakukan audit perjawatan yang menyeluruh, bagi mengenal pasti ketidakseimbangan perjawatan yang mungkin berlaku di seluruh kementerian dan agensi.

“Ini termasuk mengambil tindakan penyelarasan selanjutnya untuk memastikan beban tugas yang ditanggung adalah adil kepada kompleksiti dan bidang tugas yang diberikan kepada setiap unit/bahagian di kementerian/agensi,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan juga akan melaksanakan Rasiona­lisasi Pejabat-pejabat Perwakilan dan Wakil Agensi Kerajaan Malaysia di Luar Negeri berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

Katanya, isu pertindihan fung­si dan peranan pejabat wakil agensi Kerajaan Malaysia di luar negara dan mekanisme terbaik untuk mengoptimakan penggunaan sumber dalam pe­ngoperasian pejabat perwakilan Malaysia di luar negara sama ada dari aspek

sumber manusia dan fasiliti akan dilaksanakan dengan prinsip shared resources.

“Saya mahu perkara reformasi ini diambil dengan serius. JPA dan Kementerian Kewangan perlu melaksanakan perkara ini, dan saya tidak lagi mahu dengar tentangan, justifikasi mengarut, degil dan sense of ownership yang rigid sehingga menggagalkan pelaksanaan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju untuk menambah baik aspek pengurusan prestasi, tatakelakuan dan pengurusan tatatertib.

Ini melalui penambahbaikan Peraturan-peraturan Pe­gawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A)395] antara lain mewujudkan peraturan baharu bagi menangani isu kegagalan tadbir urus pe­ngurusan kewangan awam dan pengukuhan prosedur tatater­tib yang lebih tegas bagi pegawai yang tidak hadir bertugas.

Penambahbaikan kriteria ke­layakan Pergerakan Gaji Tahu­nan (PGT) iaitu hanya kepada pegawai yang mencapai tahap prestasi memuaskan dan lulus tapisan tatatertib.

“Ketua Jabatan yang gagal melaporkan salah laku pegawai bawahannya akan dikenakan tindakan tatatertib dan seterusnya, menjejaskan peluang kenaikan pangkat,” katanya.

Dalam hal ini, Perdana Menteri berkata, Ketua Jabatan hendaklah melaksanakan pusingan kerja (job rotation) secara berterusan bagi mengelakkan berlakunya kes salah laku dalam kalangan pegawai awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×