GUA MUSANG: Barisan Nasional (BN) meraih kemengan bergaya selepas calonnya Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) sekali gus merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Kemenangan Awie itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Nenggiri Nik Raisnan Daud pada pukul 9.30 malam di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Kompleks Majlis Daerah Gua Musang yang disambut dengan tepukan gemuruh.
Awie menang dengan majoriti 3,352 undi sekali gus menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd. Rizwadi Ismail.
Awie memperoleh undian keseluruhan 9,091 undi manakala Mohd. Rizwadi 5,739 undi.
Sementara undi ditolak sebanyak 135.
Terdahulu, sebanyak 20 pusat pengundian bagi PRK Nenggiri dibuka serentak pada pukul 8 pagi tadi.
Sebanyak 71.87 peratus pengundi dari jumlah keseluruhan pemilih yang berdaftar dengan Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) iaitu 20,259 orang keluar melaksanakan tanggungjawab pada PRK Nenggiri.
SPR dalam satu kenyataan berkata, peratusan itu direkodkan setakat pukul 4 petang.
Menurut kenyataan itu, ia merupakan jumlah terakhir yang akan dilaporkan oleh pihak SPR.
PRK Nenggiri dilangsungkan selepas penyandangnya Mohd. Azizi Abu Naim dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilucut hak sebagai ahli selepas melanggar peraturan dengan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus bertentangan dengan prinsip parti.
Ekoran itu, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan kekosongan luar jangka pada 13 Jun lalu.
Keputusan itu dibuat selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Bersatu mengenai pengguguran keahlian Mohd. Azizi.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu, Mohd. Azizi Abu Naim yang menggunakan logo Pas berjaya menewaskan penyandang kerusi berkenaan dari BN Ab. Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.
Ini ialah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu), PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang).










