GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli kini bukan lagi penyokong kuat Barisan Nasional (BN) apabila mereka sudah mulai pandai menyebut ‘bulan’ simbol Pas yang digunakan oleh calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mohd. Rizwadi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Mohd. Rizwadi berkata, situasi itu memperlihatkan keterbukaan masyarakat berkenaan kepada Perikatan Nasional (PN) semasa turun menyantuni masyarakat berkenaan di Kampung Langsat, Kuala Betis di sini bersama Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan.
Menurutnya, hal ini kerana golongan berkenaan merupakan ‘deposit’ tetap kepada BN sepanjang pilihan raya sebelum-sebelumnya.
“Bagi ambo (saya), inilah titik penting dalam meningkatkan hubungan Kerajaan Negeri dengan masyarakat Orang Asli.
“Perjuangan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) bagi memperjuangkan kesejahteraan Orang Asli amat ambo (saya) hormati,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya di sini hari ini.
Mohd. Rizwadi memberitahu, berpandukan kepada perkembangan terbaru ini beliau percaya dan yakin masyarakat Orang Asli akan memberikan sokongan kepada bulan pada Sabtu nanti.
“Lebih-lebih lagi Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud sudah sampai ke Pos Pulat dan Pos Pasik,” ujarnya.
Pada PRK kali ini, Mohd. Rizwadi akan ditentang calon BN Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani.-UTUSAN