KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat meskipun tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri hari ini.
Menteri Besarnya, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri berlapang dada dan menghormati pilihan yang telah dibuat oleh pengundi.
“Walaupun Perikatan Nasional (PN) tidak berjaya dalam PRK Nenggiri, Kerajaan Kelantan komited dengan agenda berkebajikan dengan menyantuni dan menjaga kebajikan warga Nenggiri melalui program serta
skim yang dilaksanakan sebelum ini
“Keprihatinan terhadap keperluan rakyat akan kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan dan dasar yang diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Nassuruddin memberitahu, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera Pas Kelantan termasuk rakan-rakan dari PN yang hadir berkampung menyantuni penduduk Nenggiri sepanjang berkempen.
Katanya, segala usaha dan pengorbanan yang telah dilakukan amat dihargai dan pastinya Allah membalasnya.
Pada PRK Nenggiri, calon Barisan Nasional (BN) Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie menang dengan majoriti 3,352 undi sekali gus menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd. Rizwadi Ismail.
Awie memperoleh undian 9,091 manakala Mohd. Rizwadi 5,739 undi dengan undi ditolak sebanyak 135.










