GUA MUSANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengingatkan semua parti baik kerajaan mahupun pembangkang supaya tidak menyentuh sebarang isu 3R (Agama, Raja dan Kaum) sepanjang tempoh berkempen.
Timbalan Menteri Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pada masa sama KDN berharap
tiada perkara sensitif yang timbul sehingga berlaku kekecohan atau perkara yang boleh mengancam ketenteraman awam.
Katanya, setakat tempoh lima hari berkempen suasana di DUN Nenggiri masih tenang serta terkawal.
“Di mana-mana pilihan raya kita sentiasa sebut bahawa jangan menyentuh perkara yang sensitif. Bukan kita tak boleh bercakap, tetapi jangan langgar peraturan.
“Kita harap semua pihak sama ada parti kerajaan atau parti lawan tidak boleh menyentuh isu sensitif ini supaya amalan demokrasi di negara ini dapat berjalan dengan baik dan rakyat diberi peluang buat keputusan dengan bijaksana,” katanya kepada pemberita
selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) negeri Kelantan di Dewan Datuk Ariffin Said Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di sini hari ini.
Terdahulu, PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menggunakan logo Pas Mohd. Rizwadi Ismail.-UTUSAN










