PRK Mahkota: Selesai cara baik, jangan cetus perbalahan - Halim - Utusan Malaysia

PRK Mahkota: Selesai cara baik, jangan cetus perbalahan – Halim

ABDUL HALM SULEIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berharap isu perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 2 Ogos lalu dapat diselesaikan dengan cara baik dan istiqamah tanpa mencetuskan pertelingkahan.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman percaya kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor dan Kerajaan Perpaduan amat peka tentang persefahaman dan ketetapan mengikut terma yang telah dipersetujui secara bersama di peringkat nasional dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan sebelum ini.

Beliau berharap perbincangan membabitkan kepimpinan tertinggi parti dalam gabungan berjalan secara matang untuk memastikan kerjasama dapat diteruskan dan demi masa depan negeri dan negara.

“Seperti yang sedia maklum, bahawa dalam perbincangan dan persetujuan sebelum ini, siapa sahaja calon yang menduduki kerusi itu harus diganti dan diisi oleh calon daripada parti yang sama atau yang menang sebelum ini. 

“Jadi, jangan terburu-buru dalam kita mengapi-apikan keadaaan dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaaan. Jangan kerana perebutan kerusi DUN Mahkota, kita hilang arah dan punca untuk mendapatkan tempat dan jawatan dalam kerajaan ini,” katanya dalam hantaran menerusi aplikasi TikTok, malam tadi.

Kelmarin, Amanah Kluang mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada PRK DUN Mahkota sebagai calon Kerajaan Perpaduan.

Desakan Ketua Amanah Kluang, Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain itu berlandaskan kemenangan diraih  memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selain turut bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2022.

Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Negara berkata, budaya UMNO dan BN adalah tidak tergesa-gesa untuk meletakkan calon selain menghormati keluarga Allahyarhamah dan pihak lain juga perlu sensitif tentang perkara itu dengan membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Mengenai desakan Amanah Kluang, Halim memberitahu, bukan mudah untuk sebuah kerajaan negeri dengan sesuka hati mengubah polisi yang ditetapkan oleh kerajaan termasuk lantikan Exco kerajaan negeri, ahli majlis dan ketua kampung.

“Apabila ada yang mempertikaikan (tidak mengikut acuan Kerajaan Perpaduan), mereka kena ingat BN yang bergerak solo memenangi PRN 2022  dan sebagai parti yang bersama-sama dalam gabungan ini, harus menghormati keadaan itu. Walaupun tak ada jawatan dalam kerajaan, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berlaku adil dengan memberi peruntukan ke kawasan masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN