KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memecat Komander Tentera Udara negara itu, empat hari selepas pesawat perang F-16 terhempas semasa pengeboman Russia dan membunuh juruterbang.
Arahan pemecatan Leftenan Jeneral Mykola Oleshchuk dikeluarkan di laman web presiden, semalam.
Pemecatan itu diumumkan hanya sehari selepas tentera Ukraine melaporkan sebuah jet F-16 terhempas dan membunuh juruterbangnya ketika menangkis serangan Russia, Isnin lalu.
“Kita perlu melindungi rakyat. Lindungi kakitangan. Jaga semua askar kita,” kata Zelensky dalam satu kenyataan beberapa minit selepas arahan itu dikeluarkan.
Beliau berkata, Ukraine perlu mengukuhkan tenteranya di peringkat arahan.
Susulan pemecatan itu, Leftenan Jeneral Anatolli Kryvonozhko dilantik sebagai pemangku komander tentera udara.
Pemecatan berlaku pada hari sama ketika Oleshchuk mengkritik seorang ahli Parlimen yang juga timbalan ketua jawatankuasa pertahanan Parlimen Ukraine kerana mendakwa pesawat F-16 ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Patriot.
Pasukan udara Ukraine tidak secara langsung menafikan F-16 terkena peluru berpandu Patriot.
Pakar Amerika Syarikat (AS) menyertai siasatan Ukraine mengenai nahas itu, menurut pasukan udara.- AP










