MELAKA: Prebet Muhammad Fakrullah Nazri, 21, mendakwa terasa ‘berat’ untuk pulang ke rumah menyebabkan dia menghilangkan diri sejak 24 Jun lalu.
Bapanya, Nazri Abd. Rahim, 48, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu ditemui abangnya, Muhammad Aikal dalam keadaan tidak terurus di sebuah restoran di Semabok di sini, kira-kira pukul 7 malam semalam.
Katanya, ketika ditemui Muhammad Fakrullah terkejut sebelum menangis.
“Alhamdulillah ketika ditemui Muhammad Fakrullah dalam keadaan tidak terurus dan terkejut. Dia juga menangis sambil mendakwa cuba untuk pulang ke rumah namun terasa ‘berat’.
“Kami sekeluarga tidak pasti apakah puncanya namun bersyukur dan terus memaklumkan kepada pegawai di Kem Terendak sebelum mereka datang mengambilnya untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan polis meminta bantuan orang ramai mengesan Muhammad Fakrullah yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya untuk melaporkan diri di Kem Terendak, Sungai Udang pada 24 Jun lepas.
Tambah Nazri, mereka sekeluarga masih tidak tahu punca sebenar Muhammad Fakrullah bertindak sedemikian.
Menurutnya, anaknya tidak mempunyai masalah dengan keluarga, teman wanita, kewangan atau pun dibuli.
“Cuma malam tadi dia maklumkan hatinya terasa ‘berat’ untuk pulang ke rumah yang mungkin ada kaitan dengan kejadian mistik menimpanya ketika bertugas di pintu sempadan negara di Thailand pada September tahun lalu,” ujarnya. = UTUSAN










