BESUT: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki memproses dan mengedar air ketum yang bernilai RM1,850 di Jalan Seberang Kastam, Kampung Pengkalan Nyireh di sini, kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, suspek berusia 42 tahun ditahan di kawasan semak di belakang sebuah rumah kira-kira pukul 12.45 tengah hari.
“Susulan itu kita telah merampas 50 bungkusan plastik yang disyaki mengandungi air ketum serta dua plastik lain yang mengandungi 88 bungkusan plastik yang mempunyai daun hijau yang dipercayai daun ketum dianggarkan seberat 20 kilogram.
“Selain itu, turut dirampas beberapa peralatan yang digunakan untuk merebus ketum terbabit dan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM1,850,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut beliau, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek adalah negatif dadah.
“Suspek telah direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Hasil penangkapan itu juga dapat menumpaskan aktiviti pengedaran air ketum di sekitar daerah ini.










