Polis Sungai Buloh lupus 138,650 barang kes bernilai RM10 juta - Utusan Malaysia

Polis Sungai Buloh lupus 138,650 barang kes bernilai RM10 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Polis melupuskan sebanyak 138,650 barang kes termasuk peralatan komputer, rokok dan arak yang dianggarkan bernilai hampir RM10 juta di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, ia selepas arahan pelupusan oleh mahkamah bagi kesemua barangan kes membabitkan 214 kertas siasatan sejak 2019.

“Ia terdiri daripada 1,093 barang kes mesin perjudian dan 137,557 barang kes am.

“Jumlah terbesar barang kes yang dilupuskan adalah melibatkan kes kontraban iaitu melibatkan rampasan rokok tidak bercukai dengan 136,427 karton rokok,” katanya dalam Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini hari ini.

Mohd Hafiz berkata, selain itu, turut dilupuskan 660 botol dan tin minuman keras pelbagai jenama.

“Kita turut melupuskan 81 keping wang palsu dan pelbagai barangan am lain,” katanya.

Beliau berkata, kesemua barang kes itu merupakan hasil rampasan daripada operasi yang dijalankan di bawah pentadbiran IPD Sungai Buloh.

“Kesemua barang kes akan dilupuskan dengan kaedah e-waste dan musnah mengikut prosedur ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN