PLSB Sungai Kelantan Fasa 1 siap awal tahun depan

PLSB Sungai Kelantan Fasa 1 siap awal tahun depan

AHMAD Anuar Othman ketika ditemui pemberita selepas Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Projek PLSB Sungai Kelantan Fasa 1 di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 di Tunjong, di sini dijangka siap awal tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Mejar (K) Datuk Dr. Ahmad Anuar Othman berkata, kemajuan semasa bagi projek itu ketika ini sudah hampir siap dan mencapai 94 peratus.

Menurutnya, PLSB Fasa 1 yang dilaksanakan sejak 2018 itu melibatkan peruntukan bernilai RM699 juta.

“Projek ktu mengalami sedikit kelewatan disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan masalah pengambilan balik tanah.

“Bagaimanapun, kemajuan bagi fasa itu sudah hampir siap termasuk pembinaan melibatkan komponen utama. Ia dijangka dapat disiapkan lebih awal daripada tarikh jangkaan,” katanya kepada pemberita selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat PLSB Sungai Kelantan Fasa 1, di Tunjong di sini hari ini.

Dalam lawatan berkenaan, Anwar meluangkan masa kira-kira 15 minit bagi mendengar taklimat berkaitan kemajuan semasa bagi projek itu.

Dalam pada itu, Ahmad Anuar berkata, projek PLSB Sungai Kelantan Fasa 1 yang membabitkan kawasan seluas 81 hektar itu akan memberi manfaat kepada seramai 95,000 penduduk sekitar.

“Projek itu membantu mengurangkan masalah banjir yang berlaku terutama di Bandar Baharu Tunjong di sini.

“Pelaksanaan PLSB Fasa 2 sudah bermula sejak April lalu yang melibatkan keseluruhan kos berjumlah RM1.06 bilion,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN