JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke perlawanan akhir Piala FA apabila menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan agregat 5-1.
Dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini, JDT menang dengan jaringan 3-0.
Dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darulaman, 19 Julai lalu, JDT menang dengan jaringan 2-0.
Pada perlawanan malam ini, skuad Harimau Selatan bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga separuh masa kedua untuk mendapatkan jaringan sulung walaupun melakukan serangan bertali arus sejak awal permainan ke gawang KDA FC, termasuk menerusi percubaan jarak jauh Arif Aiman Hanapi pada minit ke-32.
Barisan pertahanan Skuad Hijau Kuning bagaimanapun menunjukkan prestasi tinggi apabila berjaya memastikan gawang mereka gagal dibolosi tuan rumah.
Namun, tembok pertahanan itu berjaya diruntuhkan pada minit ke-50 apabila Feroz Baharudin berjaya menyempurnakan hantaran Matthew Davies untuk menjadikan kedudukan 1-0.
KDA FC berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-62, namun jaringan tersebut dibatalkan kerana ‘ofsaid’ selepas pemeriksaan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).

Nasib malang turut dialami pasukan tuan rumah apabila jaringan Bergson da Silva hasil gerakan solo pada minit ke-67 dibatalkan kerana ‘ofsaid’.
Serangan demi serangan dilancarkan Harimau Selatan, namun masih gagal menggandakan jaringan sehingga minit ke-74 apabila Bergson berjaya menanduk bola melepasi jangkauan penjaga gol KDA FC, Kalamullah Mat Rowi hasil sepakan penjuru Oscar Arribas, menjadikan kedudukan 2-0.
Kerja keras JDT berbaloi apabila Juan Muniz Gallego pula mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-82 menjadikan kedudukan 3-0.
Malang terus menimpa pasukan pelawat apabila Kapten KDA FC, Sony Norde dilayangkan kad merah pada minit ke-85 kerana tindakannya menyiku Matthew Davies dan kedudukan 3-0 itu kekal sehingga tamat permainan.
JDT bakal bertemu Selangor FC pada perlawanan akhir Piala FA selepas skuad Red Giants itu berjaya menewaskan Terengganu FC dengan agregat 6-4. – UTUSAN










