Pesawah Perlis ‘buntu’ padi diserang ulat gulung daun

Pesawah Perlis ‘buntu’ padi diserang ulat gulung daun

SERANGAN ulat gulung daun mengakibatkan pertumbuhan padi menjadi terencat dan akan merosakkan padi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebanyak 352 pesawah membabitkan kawasan seluas 700.19 hektar di negeri ini terjejas dan hasil dijangka merosot sehingga 40 peratus berikutan serangan ulat gulung daun.

Serangan ulat gulung daun tersebut mengakibatkan pertumbuhan padi terencat sekali gus akan merosakkan padi.

Keluasan yang terjejas tersebut membabitkan sekitar 20 peratus daripada keluasan keseluruhan kawasan padi di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Perlis iaitu 19,034.53 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Per­­tanian negeri, Razali Saad berkata, serangan ulat gulung daun pada musim ini agak serius berbanding musim setahun lalu yang dianggarkan kawasan terjejas sekitar 698 hektar sahaja.

Katanya, setiap kali musim penanaman padi, masalah se­perti ini pasti akan timbul namun tidak serius seperti kali ini.

Menurut beliau, meskipun hanya sekitar 20 peratus kawasan tanaman padi di negeri ini terlibat namun ia menjejaskan pesawah.
“Antara kawasan yang terjejas teruk adalah seperti di E1 Simpang Empat yang melibatkan 273 pesawah.

“Kerajaan negeri juga sudah berhubung dengan agensi pertanian berkaitan dalam mencari penyelesaian kepada masalah ini dan buat masa ini, serangan ulat tersebut belum lagi sehingga mencapai tahap darurat.

“Oleh itu, memerlukan pemantauan serta penelitian selanjutnya daripada pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sendiri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang petani, Ku Hashiam Ku Bakar, 66, berkata, serangan ulat gulung daun itu dikesan berlaku sejak dua minggu lalu.

Dia yang mengusahakan tanaman di kawasan seluas dua hektar di Permatang Keriang, Simpang Empat itu berkata, serangan ulat tersebut agak mendadak pada musim ini sekali gus menjejaskan hasil pendapatan petani.

“Setiap musim memang akan berlaku kejadian seumpama ini namun kali ini begitu ketara. Serangan ulat ini telah menjejaskan hasil pendapatan petani dan ia lebih teruk berbanding musim lalu.

“Ulat gulung daun ini dipercayai datang daripada hama rama-rama yang bertelur di dedaun padi yang kemudian membiak dalam cuaca yang tidak menentu dan walaupun hujan, ulat ini masih dapat membiak dengan banyak.

“Sebagai langkah kawalan saya sudah menyembur racun di beberapa bahagian sawah padi bagi mengelakkan kerosakan padi lebih banyak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN