SEBANYAK enam kejadian bencana alam di seluruh dunia yang berlaku selang hari dalam minggu ini menunjukkan bumi kini berhadapan ancaman perubahan iklim yang drastik dan berlaku pada bila-bila masa.
Bermula banjir di Thailand, Sudan dan Indonesia serta Bangladesh, diikuti Taufan Shanshan di Jepun hingga menjejaskan kira-kira 250,000 isi rumah yang terputus bekalan elektrik.
Terbaharu, banjir buruk di Gujarat, India dengan sekurang-kurangnya 28 terbunuh dan memaksa lebih 40,000 penduduk berpindah manakala Jabatan Meteorologi India meramalkan keadaan akan bertambah buruk dengan taburan hujan lebat dan angin kencang di kawasan pesisir pantai.
Namun antara faktor mendorong perubahan iklim yang drastik adalah disebabkan pembangunan tanpa kawalan, penerbangan hutan dan pelepasan bahan api sekali gus memberi impak buruk terhadap ekosistem dan alam sekitar.
Kemerosotan alam sekitar itu secara langsung memberi kesan kepada kesihatan manusia. Begitu juga pencemaran udara, air dan perubahan iklim menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan awam.

ANGKARA TANGAN MANUSIA
Mengambil contoh Taufan Gaemi yang mengakibatkan lebih 100 kematian selepas melanda Filipina, Taiwan dan China bulan lalu, diburukkan lagi oleh perubahan iklim didorong oleh perbuatan manusia.
Taufan Gaemi membadai rantau Asia Timur pada 22 Julai lalu, mencatat taburan hujan lebih 300 millimeter di Manila hanya dalam tempoh sehari. Ribut tropika membawa angin sekuat 232 kilometer sejam itu mengakibatkan ombak besar sehingga menenggelamkan sebuah kapal di perairan Filipina dan sebuah kapal kargo di Taiwan.
Menurut satu laporan oleh persatuan penyelidik, Kumpulan Iklim Sedunia melaporkan suhu lautan yang semakin meningkat mengakibatkan taufan-taufan yang melanda Asia lebih berbahaya.
Wakil penyelidik dari Institut Meteorologi Diraja Belanda, Nadia Bloemendaal berkata, kelajuan angin dibawa Taufan Gaemi meningkat kira-kira 14 kilometer sejam, sementara hujan dibawanya bertambah sebanyak 14 peratus ekoran pertambahan suhu air laut.
“Pertambahan suhu global menyebabkan suhu air laut turut naik. Keadaan itu memberi lebih tenaga kepada taufan,” jelas beliau pada satu taklimat sebelum membentangkan laporan berkenaan kelmarin.
Sementara itu, seorang penyelidik di Institut Grantham London, Clair Barnes pada acara sama memberitahu, taufan kini 30 peratus lebih banyak berlaku berbanding zaman pra-industri dan ianya boleh berlaku lebih kerap jika suhu global meningkat dua darjah Celcius.

TANAH JERLUS
Selain Malaysia, Korea Selatan juga dikejutkan kejadian tanah jerlus apabila dua orang warga emas nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam lubang itu yang muncul di tengah jalan berdekatan Daerah Seodaemun, barat Seoul, kelmarin.
Menurut laporan media tempatan, lubang tersebut muncul di tengah jalan sehingga menyebabkan kereta yang dinaiki mereka terbalik dan jatuh ke dalam lubang tersebut.
Sejak kebelakangan ini lubang benam menjadi perhatian orang ramai selepas seorang pelancong warga India berusia 48 tahun jatuh ke dalam lubang benam di Kuala Lumpur pada minggu lalu.
Fenomena tanah jerlus berpunca daripada kejadian seperti saluran paip pecah, paras air bawah tanah yang berubah serta kerja-kerja pembinaan sekali gus menunjukkan ancaman terbesar di sesebuah bandar membangun bukanlah faktor semula jadi tetapi akibat tindakan manusia sendiri. – UTUSAN










