Penyelarasan gaji penghargaan kerajaan kepada penjawat awam - KPN - Utusan Malaysia

Penyelarasan gaji penghargaan kerajaan kepada penjawat awam – KPN

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengumuman pelarasan gaji oleh Perdana Menteri menunjukkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan dan dedikasi penjawat awam terutamanya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan tugas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, beliau mewakili seluruh warga PDRM bersyukur dengan pengumuman istimewa kenaikan gaji oleh Perdana Menteri pada perhimpunan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) pagi tadi.

Menurutnya, ini menunjukkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan dan dedikasi penjawat awam dalam melaksanakan tugas termasuk veteran PDRM.

“Kenaikan gaji ini bukan sahaja membantu meningkatkan kesejahteraan hidup malah memberi motivasi tambahan untuk terus berkhidmat dengan lebih baik dan efisien.

“Dalam konteks yang sama, penjawat awam yang bekerja kuat dan menunjukkan prestasi cemerlang akan diberi peluang untuk dinaikkan pangkat sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan dedikasi itu,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata, kenaikan pangkat ini bukan sahaja memberi penghargaan tetapi juga membuka ruang untuk mereka memegang tanggungjawab yang lebih besar dan menyumbang lebih banyak kepada organisasi khususnya dan negara amnya.

“Justeru, penghargaan ini juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa terjaga,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji ini akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN