Penjara berisiko akan dilengkapi sistem antidron

Penjara berisiko akan dilengkapi sistem antidron

SISTEM penjara di negara ini perlu diperbaharui dengan pendekatan lebih efisien dan memfokuskan kepada pemulihan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebahagian daripada 43 penjara di seluruh negara sudah dilengkapi sistem pengesanan antidron bagi mematahkan cubaan menyeludup dadah menggunakan taktik tersebut.

Jabatan Penjara Malaysia me­maklumkan kepada Utusan Malaysia, sistem antidron berkenaan telah ditempatkan di penjara-penjara besar dan berisiko tinggi antaranya Penjara Kajang; Penjara Pokok Sena, Kedah, Penjara Machang, Kelantan dan Penjara Tapah.

“Tujuh kes cubaan menyeludup dadah menggunakan dron yang dilaporkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman adalah hasil laporan yang dibuat oleh pihak kami (Jabatan Penjara).

“Laporan berkenaan dibuat selepas pihak kami berjaya menjatuhkan dron-dron berkenaan ketika cuba menyeludup dadah hasil daripada sistem antidron yang dipasang,” katanya di sini semalam.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, JSJN Bukit Aman telah mengesan sebanyak tujuh kes cubaan menyeludup dadah menggunakan dron ke penjara di lima negeri pada tahun ini iaitu Kedah, Perak, Melaka, Kelantan dan Sarawak.

Cubaan menyeludup di penjara berkenaan membabitkan dadah jenis ganja, heroin, syabu, pil yaba dan ketamin dengan rampasan keseluruhan seba­nyak 544.02 gram (g).

Dadah paling tinggi yang cuba diseludup ialah heroin seberat 290.35g, diikuti syabu (124.26g); ganja (114.03g); pil yaba (99.9g) dan ketamin (4.33g).

Walaupun jumlah tersebut tidak banyak, namun JSJN serius dalam menangani dan membanteras modus operandi digunakan sindiket dadah itu.

Sementara itu, Pengarah JSJN, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes penyeludupan dadah menggunakan dron ke dalam penjara.

“Siasatan akan ditumpukan sama ada kegiatan itu turut melibatkan individu-individu tertentu dan cubaan kaburkan mata pihak polis dengan menggunakan dron masukkan dadah ke dalam penjara.

“Kita akan siasat, sama ada berlaku salah laku membabitkan pihak atau individu tertentu, semua kita akan siasat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dekat sini, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN