Penduduk terkejut dilanda banjir kilat ketika tidur

Penduduk terkejut dilanda banjir kilat ketika tidur

Pelajar Universiti Islam Melaka (UNIMEL) turut membantu membersihkan rumah penduduk yang dilanda banjir kilat di Taman Desa Bayu, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kira-kira 600 penduduk di Taman Desa Bayu, Kuala Sungai Baru dekat sini gagal menyelamatkan pelbagai barangan milik mereka kerana banjir kilat berlaku ketika keba­nyakan penduduk tengah tidur.

Penduduk mendakwa, air mula memasuki rumah mereka hingga ke paras lutut kira- kira pukul 12.30 tengah malam Ahad lalu menyebabkan mereka tidak sempat berbuat apa-apa.

Seorang penduduk, Shamsul Amri Kamaruddin, 49, berkata, dia bersama isteri serta tiga anak mereka sedang tidur sebelum dikejutkan jiran memberitahu banjir mula melanda taman perumahan di situ.

Katanya, sewaktu bangun dia terkejut air sudah sampai ke paras lutut dan tidak sempat menyelamatkan pelbagai barangan yang ditenggelami air.

“Saya sendiri tidak sangka taman perumahan ini dilanda banjir kilat sebab pada petang pekan Masjid Tanah ditenggelami air, kawasan rumah tidak ada tanda-tanda air akan naik.

“Sehingga pukul 8 malam bila hujan mula berhenti saya tengok tak ada tanda-tanda air akan naik dan saya sekeluarga masuk tidur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, ini kali pertama sejak 2008 taman perumahan itu paling teruk dilanda bah yang melanda kira-kira 150 buah rumah di situ.

Seorang lagi penduduk, Zul­karnain Mohd. Jani, 42, berkata, dia sangat terkejut rumahnya dinaiki air kira-kira pukul 12.30 te­ngah malam.

“Saya sekeluarga mula masuk tidur kira-kira pukul 11 malam dan langsung tak fikir banjir kilat akan melanda kerana sehingga pukul 9 malam tidak ada tanda-tanda air naik,” katanya.

Katanya, dia tersedar selepas jirannya menghubungi melalui telefon bimbit dan sewaktu bangun air mula memasuki rumah.

Tambahnya, dibantu dua anak serta isteri, mereka hanya sempat menyelamatkan peti sejuk dan mesin basuh manakala barangan lain seperti perabot, tilam, sofa ditenggelami air.

Seorang penduduk Rosli Lambut, 47, berkata, ketika kejadian dia tidak berada di rumah kerana membantu kedai kakaknya yang ditenggelami banjir kilat di pekan Masjid Tanah.

“Ketika itu tiga anak saya sedang nyenyak tidur dan saya serta isteri bergegas pulang apabila diberitahu rumahnya dinaiki air,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN