KANGAR: Biarpun hanya sebuah negeri kecil, namun Perlis berjaya membuktikan kemampuan merekodkan pencapaian membanggakan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak sekali gus membuktikan negeri ini tidak ketinggalan dalam aspek pembangunan sukan.
Secara keseluruhan, Perlis berjaya mengatasi Kelantan dan Brunei yang mempunyai populasi penduduk lebih tinggi dengan meraih 12 pingat emas, 15 perak dan 16 gangsa.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, jumlah kutipan pingat kontinjen negeri ini juga turut mengulangi pencapaian terbaik diraih dalam temasya Perlis pada 2014 lalu.
“Pencapaian diraih atlet kita ini bukan sahaja dikagumi oleh rakyat negeri ini malah juga rakyat Sarawak yang turut kagum dengan Perlis sebuah negeri kecil namun mampu meraih sehingga 12 pingat emas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Pada temasya Sukma 2014 di Perlis, kontinjen negeri ini meraih pencapaian terbaik dengan kutipan 12 pingat emas, 10 perak dan 30 gangsa.
Menerusi Sukma Sarawak kali ini, antara sukan yang menyumbang pingat buat kontinjen Perlis adalah seperti taekwando, angkat berat, pencak silat, lontar peluru, wushu, sepak takraw, lempar cakera, petanque, baling tuk besi, boling padang, pelayaran, karate, silambam dan gimnastik artistik.
Lebih membanggakan, atlet angkat berat Perlis, Muhammad Hafizuddin Roslin,20, yang merangkul pingat emas turut berjaya memecah rekod kebangsaan sebanyak lapan kali dalam acara angkat berat kategori 81 kilogram (kg).=UTUSAN









