PUTRAJAYA: Pembunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysia (AmBank), Hussain Ahmad Najadi kekal menjalani hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakannya.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Harmindar Singh Dhaliwal memutuskan demikian secara sebulat suara terhadap bekas penarik kereta, Koong Swee Kwan, 55, yang disabitkan membunuh Hussain, 75, pada 2013.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah berpuas hati, pemohon berniat membunuh lelaki berkenaan dengan menembaknya sebanyak tujuh kali dari jarak dekat bagi memastikan mangsa tidak terselamat.
Koram berkenaan bersetuju bahawa kejadian berlaku pada waktu siang dan tindakan itu mengejutkan masyarakat dan mendatangkan ketakutan kepada orang awam.
“Panel ini telah mempertimbang alasan dan penghujahan sama ada untuk mengekalkan hukuman mati atau menggantikannya dengan hukuman penjara. Kami berpendapat, hukuman mati wajar dikekalkan terhadap kes-kes yang luar biasa,’’ ujar Hakim Harmindar.
Menurut beliau, dalam kes itu, keterangan menunjukkan gaya pembunuhan dilakukan dalam keadaan mangsa sedar dan tidak mampu menyelamatkan diri berdasarkan tujuh tembakan jarak dekat dilepaskan terhadapnya.
Swee Kwan kini menjalani hukuman penjara 18 tahun kerana cuba membunuh isteri pengasas AmBank, Cheong Mei Kuen bermula pada tarikh tangkap pada pada 23 September 2013.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim membantah permohonan semakan atas alasan kes itu tertakluk di bawah kategori ‘kes yang paling jarang di antara yang jarang berlaku’ yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan.
Beliau berhujah, pembunuhan yang berlaku pada siang hari itu telah dirancang terlebih dahulu kerana pemohon menembak mangsa pada jarak dekat sebelum melarikan diri dengan mengupah pemandu teksi yang membawanya ke tempat kejadian.
Ujar beliau, rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tempat kejadian menunjukkan pemohon menembak mangsa sebanyak tujuh kali iaitu empat di bahagian dada dan tiga di belakang manakala isterinya juga ditembak dan mengalami kecederaan.
Ketika ditanya oleh Hakim Harmindar sama ada Swee Kwan mengenali Hussain dan isterinya, Yusaini menyatakan mereka saling tidak mengenali malahan tiada bukti menunjukkan pemohon diupah oleh mana-mana pihak untuk membunuh mangsa.
Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik berhujah, kes tersebut bukan dikategorikan sebagai luar biasa dan anak guamnya memohon maaf kepada keluarga mangsa.
Swee Kwan disabitkan membunuh Hussain di tempat letak kereta Tokong Cina Kuan Yin di No. 4, Lorong Ceylon di ibu negara di antara pukul 1.30 tengah hari dan 2 petang, pada 29 Julai 2013.- UTUSAN










