Pembeli desak pemaju serah kunci rumah

Pembeli desak pemaju serah kunci rumah

SEBAHAGIAN pembeli melihat kesan kerosakan di bahagian hadapan salah satu unit Taman Residensi Mesra Fasa 1 yang masih belum boleh diduduki di Gurun. – UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURUN: Lebih 500 pembeli projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Taman Re­sidensi Mesra Fasa 1, di sini kecewa apabila rumah yang dibina sejak 2019 belum boleh diduduki.

Projek perumahan mengan­dungi 405 unit rumah teres se­tingkat dan 144 unit teres dua tingkat itu sepatutnya siap pada Mac 2020. Namun, sehingga kini belum menampakkan tanda-tanda boleh diduduki.

Perjumpaan dengan pemaju projek yang beberapa kali diadakan sebelum ini, turut menemui jalan buntu. Pemaju hanya berjanji untuk menyiapkan rumah tetapi gagal melaksanakan penyerahan kunci setelah empat tahun berlalu.

Seorang pembeli yang juga kakitangan kerajaan, Abdul Rahit Mohamad Nordin, 37, berkata, sepatutnya pemaju lebih prihatin dengan masalah mereka dan menyegerakan proses penye­rahan kunci.

“Sudah banyak kali pemaju berjanji untuk menyerahkan kunci, kali terakhir April lalu, tetapi mereka gagal berbuat demikian dan memberikan pelbagai alasan.

“Saya harap pihak berkuasa dapat membantu merealisasikan impian kami memperoleh kunci rumah untuk diduduki,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Seorang lagi pembeli, Syaza Nasuha Zamri, 31, berkata, dia membeli rumah itu pada 2021 dan dijanjikan setahun kemudian boleh diduduki.

“Ini merupakan rumah pertama yang dibeli atas nama sendiri, tetapi selepas tiga tahun saya belum berpeluang tinggal di sini sedangkan bayaran ansuran bulanan telah dipotong sebanyak RM843 sebulan sejak dua tahun lalu.

“Rata-rata pembeli terkesan dan terbeban kerana ansuran bulanan dipotong, pada masa sama perlu jelaskan sewa rumah sementara menantikan kediaman ini siap,” katanya.

Bagi Muhamad Faiz Istihar, 36, pula, dia terkejut dengan tindakan pemaju menukar nama taman perumahan itu kepada Taman Ria Mesra 2 tanpa notis pemakluman kepada pembeli.

“Kami menandatangani surat perjanjian pembelian atas nama Taman Residensi Mesra Fasa 1. Saya bimbang mungkin akan dimanipulasi oleh pemaju kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN