GUA MUSANG: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Mohd. Syahbuddin Hashim menuntut penjelasan terkini daripada kerajaan negeri berkait status terkini pembinaan Projek Bandar Perabot Gua Musang.
Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan semula selepas mendapati projek tersebut seolah-olah ‘tergantung sepi’ selepas tiada sebarang gerak kerja dilaksanakan selepas dilancarkan oleh bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada 10 September 2020 lalu.
“Sebelum ini dikatakan dengan wujudnya pelaburan Projek Bandar Perabot itu, akan memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat di Gua Musang, tetapi sehingga 2024 ianya masih tidak menjadi kenyataan,
“Jika semasa penggulungan DUN Kelantan diberikan alasan pandemik Covid-19 menyebabkan ianya tertangguh, kini apakah masalah sebenar yang berlaku menjadi penyebab kelewatan projek ini,” katanya semasa sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat di Bukit Cekati di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas itu memberitahu, dalam menanti janji bandar perabot itu disiapkan pihaknya telah mengesan ada sesuatu yang tidak kena.
Katanya, semakan melalui laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) tahun 2023 mendapati terdapat tiga projek Ladang Hutan di bawah syarikat yang terlibat dengan Bandar Perabot.
Ujarnya, selain kelulusan 141 hektar tanah tapak bandar perabot itu, syarikat terbabit didakwa turut terlibat dengan kelulusan sebanyak 1,169 hektar projek ladang hutan.
“Persoalan saya, apakah kelulusan Projek Ladang Hutan 1,169 hektar kepada syarikat berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen usahasama kerajaan Kelantan untuk membolehkan bandar perabot ini menjadi kenyataan?
“Saya amat mengharapkan kewujudan bandar perabot ini menjadi kenyataan walau cepat atau lambat. Sebagai wakil rakyat Galas di Gua Musang saya menaruh kebimbangan sekiranya projek Bandar Perabot gagal,” ujarnya.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Gua Musang itu berkata, beliau mahu kerajaan negeri menjawab persoalan tersebut.
“Saya mewakili suara semak dan imbang kerajaan Kelantan maka, menjadi tanggungjawab untuk bertanya tentang projek yang memberi impak kepada rakyat,” tegasnya.-UTUSAN










