PETALING JAYA: Seorang lelaki dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol sebelum merempuh lima buah kenderaan mengakibatkan dua pelajar kolej maut dalam kemalangan dekat Jalan Cheras di sini, pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian terbabit berlaku kira-kira pukul 6.43 pagi.
Menurutnya, kejadian melibatkan empat kereta dan dua motosikal.
“Sebuah kereta jenis Mercedes-Benz dipandu seorang individu dipercayai terbabas sebelum memasuki jalan bertentangan dan melanggar beberapa kenderaan lain.
“Dua individu yang maut merupakan penumpang salah sebuah kenderaan jenis Ford yang dilanggar, berumur lingkungan 22 tahun dan merupakan pelajar di sebuah kolej,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, pemandu yang melanggar lima kenderaan lain kini ditahan untuk siasatan lanjut.
“Pemandu adalah lelaki tempatan berumur 23 tahun dan ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol,” katanya.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk proses bedah siasat.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk membantu siasatan. – UTUSAN










