Pelarasan gaji: KPDN beri amaran, peniaga jangan ambil kesempatan - Utusan Malaysia

Pelarasan gaji: KPDN beri amaran, peniaga jangan ambil kesempatan

ARMIZAN Mohd. Ali ketika menyertai Op Tiris 3.0 membabitkan LPG di Lukut, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran kepada semua pihak terutamanya peniaga untuk tidak menaikkan harga jualan masing-masing, sekali gus mensabotaj usaha kerajaan dalam menaikkan gaji penjawat awam.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pihaknya tidak mahu peniaga mengambil kesempatan berhubung kenaikan gaji tersebut kerana tidak mempunyai kaitan secara langsung kepada kos operasi perniagaan mereka.

Menurut beliau, walaupun kenaikan gaji yang diumumkan itu berlaku bermula 1 Disember, namun pihaknya khuatir sekiranya ada pihak tertentu melakukan pencatutan daripada awal.

“Jadi penguatkuasaan itu perlu dibuat pada kadar segera. Kami akan mengambil tindakan tegas di peringkat pergerakan harga untuk mendapatkan alasan serta justifikasi pihak-pihak terlibat yang melakukan pergerakan kepada harga barang dan perkhidmatan masing-masing.

“Kerajaan melakukan pelarasan kenaikan gaji penjawat awam ini adalah untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat khususnya penjawat awam. Itu sebab kenaikan besar berlaku di peringkat bawahan.

“Kita tidak mahu ada pihak sabotaj usaha lerajaan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan. Kita tidak mahu peniaga mengambil kesempatan dan kami akan melaksanakan penguatkuasaan lebih-lebih lagi selepas pengumuman kenaikan gaji ini,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Op Tiris 3.0 membabitkan gas petroleum cecair (LPG) di Lukut, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Armizan turut menyambut baik saranan Perdana Menteri untuk pihak penguatkuasaan KPDN melihat dan meneliti pasca dari pengumuman kenaikan gaji berkenaan untuk mengekang pihak-pihak yang dikhuatiri melakukan pencatutan.

“Ini pengiktirafan dan harapan secara langsung daripada kepimpinan negara. Sebenarnya, kami telah membuat persiapan sebaik sahaja kerajaan mengumumkan perancangan untuk melaksanakan semakan gaji penjawat awam.

“Perancangan awal telah pun kami buat dan telah pun kita maklum kepada Perdana Menteri sebab risiko (kenaikan harga barang) itu ada,” katanya sambil memaklumkan pertemuan khas antara Perdana Menteri dengan penguatkuasa KPDN akan diadakan pada 23 Ogos ini di Putrajaya.

Menurutnya, dalam pertemuan tersebut, selain mendengar amanat Perdana Menteri, pihaknya turut akan mengetengahkan mengenai operasi yang telah dilaksanakan khususnya berkaitan aspek ketirisan, pencatutan serta langkah-langkah yang ingin dilaksanakan bagi mengekang aktiviti tersebut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN