Pelakon diperintah bayar RM250,000

Pelakon diperintah bayar RM250,000

HARIS Embong hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan kes saman fitnah oleh pelakon Rafidah Ibrahim terhadapnya. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon Rafidah Ibrahim diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM250,000 kepada usahawan produk sejuk beku, Datuk Haris Embong dan syarikatnya kerana mengeluarkan hantaran berunsur fitnah dalam laman sosial, tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Dr. John Lee Kien How@Mohd. Johan Lee memutuskan demikian semalam, selepas membenarkan tuntutan saman ahli perniagaan itu dan ArisProp Holdings Sdn. Bhd. selaku plaintif pertama dan kedua terhadap pelakon berkenaan.

Haris, 47, merupakan pengarah dan pemilik syarikat pengeluaran produk sejuk beku ‘Aris Burger’ manakala ArisProp adalah syarikat yang mengendalikan pemasaran produk keluaran syarikat itu.

Mahkamah memerintahkan Rafidah, 38, yang juga pempengaruh media sosial membayar RM100,000 kepada Haris (plaintif pertama) dan RM150,000 lagi kepada ArisProp (plaintif kedua) serta kos RM30,000.

Hakim juga mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang defendan, sama ada melalui dirinya sendiri, kaki­tangan dan ejennya daripada menerbitkan atau menyebabkan untuk diterbit perkataan yang bersifat fitnah terhadap kedua-dua plaintif.

Pada 2021, plaintif dan Rafidah telah memasuki satu perjanjian kerjasama untuk mempromosi dan menghebahkan jenama `Aris Burger’ melalui pengaruh defendan di media sosial dan dilantik sebagai Ketua Pemasaran melalui perjanjian selama dua tahun bermula 1 Jun 2921 dan 31 Mei 2021.

Hakim Mohd. Johan Lee dalam keputusannya berpuas hati, hantaran kedua yang mengandungi pernyataan fitnah berkaitan kegagalan plaintif membayar hasil kerja pelakon itu, didapati menjejaskan reputasi mereka.

“Mahkamah mendapati ayat tersebut membawa maksud syarikat itu mengambil kesempatan ke atas defendan dan enggan membayar hasil kerja beliau serta memberi gambaran kepada pembaca seolah-olah syarikat itu tidak beretika, mengeksploitasi pekerja tanpa bayaran dan tidak bermaruah.

“Mahkamah turut berpuas hati, ulasan warga siber berkenaan hantaran itu menunjukkan reputasi plaintif tercalar pada mata orang awam,’’ ujar Hakim Mohd. Johan ketika membacakan penghakimannya semalam.

Pada hemat beliau, pernya­taan defendan telah mendedahkan plaintif kepada kebencian, cemuhan dan penghinaan selain mengajak pembaca-pembaca untuk menjauhi mereka.

Hakim berkenaan turut menolak ulasan adil sebagai pem­belaan tunggal yang dikemukakan oleh defedan sebaliknya menyifatkan keterangannya adalah pernyataan berkaitan fakta, bukan ulasan.

Hakim berkenaan turut menolak tuntutan balas Rafidah terhadap plaintif bagi mendapatkan tunggakan gaji RM4,000 bagi bulan Ogos 2021 dan kos kemudahan sebanyak RM3,550 ketika bekerja dengan syarikat itu.

Prosiding itu dihadiri peguam Joycelyn Goh dan Foo Hong Chuen mewakili ke­dua-dua plaintif dan peguam Noorhafidzah Abd. Rahim mewakili Rafidah.

Sementara itu, Haris ketika ditemui pemberita berkata beliau dan syarikatnya telah dicemuh masyarakat selain berada dalam ‘alam kegelapan’ apabila orang ramai memandang serong terhadap perniagaannya ekoran hantaran yang diterbitkan Rafidah.

“Keputusan hari ini dapat membersihkan nama saya dan syarikat. Pada mulanya saya tidak mahu mengambil tindakan terhadapnya (Rafidah) dan cuba menghubunginya supaya menurunkan hantaran dibuat, namun dia meminta saya bercakap dengan peguamnya,” katanya.

Noorhafidzah berkata pihak­nya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×