TOKYO: Parti pemerintah Jepun mengumumkan akan memilih Perdana Menteri seterusnya pada 27 September ini, lapor AFP.
Keputusan itu susulan pengumuman mengejut Perdana Menteri, Fumio Kishida minggu lalu, untuk tidak akan bertanding semula selepas tinjauan pendapat menunjukkan penurunan mendadak dalam penilaian sokongan terhadap kerajaannya.
Jawatankuasa dalaman hari ini memutuskan kempen untuk menjadi presiden Parti Liberal Demokrat seterusnya akan bermula pada 12 September dengan undian dua minggu kemudian.
Pengumuman Kishida pada 14 Ogos lalu bermakna tempoh jawatan sebagai Perdana Menteri akan berakhir pada September setelah tiga tahun berkhidmat.
Siapa yang akan menggantikan Kishida masih belum jelas, dengan pelbagai calon dinamakan, bermula dari veteran parti hingga bintang muda yang sedang meningkat
Ini termasuk, tiga wanita yang dilaporkan sedang mengintai peluang mereka dan berusaha mendapatkan sokongan dalam parti.
Mereka termasuk bekas Menteri Pertahanan Shigeru Ishiba, bekas Menteri Alam Sekitar Shinjiro Koizumi dan Menteri Keselamatan Ekonomi Sanae Takaichi yang jika terpilih bakal menjadi Perdana Menteri wanita pertama Jepun.
Sokongan terhadap Kishida, 67 tahun, merosot secara mendadak berikutan kenaikan harga yang menjejaskan pendapatan rakyat Jepun serta beberapa skandal yang melanda kerajaannya.
Beliau juga berdepan ketidakpuasan hati orang ramai berikutan kegagalan mengimbangi kenaikan kos sara hidup ketika negara bebas daripada tekanan deflasi selama bertahun-tahun.
Bagaimanapun, Kishida dipuji antarabangsa sepanjang tempoh berkuasa kerana tegas menyokong Ukraine selepas pencerobohan Russia dan memperkukuh dasar pertahanan Jepun menyaingi China, dengan sokongan Amerika Syarikat (AS).










