Orang Asli ‘makan hati’ berebut kerja dengan warga asing

Orang Asli ‘makan hati’ berebut kerja dengan warga asing

Orang Asli mengeluh terpaksa berebut peluang kerja dengan warga asing yang lebih mempunyai peluang diambil bekerja kerana dibayar gaji lebih murah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Ma­sya­rakat Orang Asli Cameron Highlands sudah lama ‘makan hati’ dan tertekan dengan kerenah penduduk tempatan di situ yang menyewakan tanah kepada warga asing bagi mengusahakan kebun sayur-sayuran.

Timbalan Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM), Sakaria Aweng berkata, Orang Asli di Cameron Highlands sebagai penduduk asal kini ibarat melukut di tepi gantang apabila industri sayur-sayuran, strawberi dan bunga-bungaan di monopoli pendatang asing.

Justeru, dia menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri`ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah baru-baru ini yang menegur aktiviti ‘sisi gelap’ petani warga asing yang mendominasi industri sayur-sayuran Came­ron Highlands.

“Kami juga pelik kenapa pendatang asing ini khususnya warga Bangladesh dan Myanmar didakwa ‘kebal’ meneroka tanah di Cameron Highlands hingga mampu ‘menawan’ peluang ekonomi penduduk setempat.

“Titah Al Sultan Abdullah seharusnya menjadi indikator kepada pihak berkuasa untuk bertindak atas nama kedaulatan undang-undang sekali gus membanteras gejala jijik yang boleh menjejas integriti pelbagai pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sakaria berkata, umum sudah mengetahui bahawa Cameron Highlands terkenal sebagai tempat pelancongan tanah tinggi yang cantik dan dingin di sam­ping tempat pengeluaran sayuran di Malaysia.

Namun tegas beliau, di sebalik kemasyhuran itu terselit sedikit celanya dengan kehadiran warga asing yang tiada kawalan sekali gus memberi kesan tidak baik rakyat tempatan termasuk masyarakat Orang Asli di situ.

“Antara impak negatif kepada masyarakat Orang Asli tempatan Cameron Highlands iaitu persaingan pekerjaan yang mana mereka terpaksa ber­saing merebut peluang pekerjaan de­ngan warga asing.

“Kebanyakan tauke lebih cenderung kepada warga asing atas faktor upah yang lebih murah. Bertambah parah jika warga asing ini sudah mula menguasai dan menjadi tauke menindas pekerja Orang Asli,” katanya.

Tambah beliau, isu tanah yang melibatkan pencerobohan secara haram oleh pihak-pihak tertentu bukan sahaja berlaku di Pahang tetapi di seluruh negara turut terjejas membabitkan penempatan orang asli.

“Ini kerana status tanah masih belum. diwartakan oleh kerajaan sebagai hak milik. kekal orang asli dan maka berlakunya pencerobohan yang berleluasa secara berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN