SAN FRANCISCO: OpenAI menutup akaun kumpulan Iran yang menggunakan perkhidmatan chatbot, ChatGPT untuk menghasilkan kandungan bertujuan mempengaruhi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) dan isu lain.
Operasi itu, dikenali sebagai Storm-2035, menggunakan ChatGPT untuk menghasilkan kandungan berkaitan ulasan calon pilihan raya AS, konflik Gaza dan penyertaan Israel di Sukan Olimpik, yang kemudian dikongsi ke akaun media sosial serta laman web.
Menurut siasatan syarikat AI disokong Microsoft, ChatGPT diguna untuk menghasilkan artikel dan ulasan media sosial.
OpenAI berkata, operasi tersebut dilihat tidak berjaya mencapai sasarannya di media sosial.
Kebanyakan hantaran dikenal pasti menerima sedikit atau tiada tanda suka, perkongsian atau komen, dan syarikat itu tidak melihat ada artikel web dikongsi di media sosial.
Menurut OpenAI, akaun itu diharamkan daripada menggunakan perkhidmatannya dan akan terus memantau aktiviti yang cuba melanggar dasar.
Laporan perisikan Microsoft mendakwa, rangkaian Iran Storm-2035, terdiri empat laman web yang menyamar sebagai saluran berita, aktif berinteraksi dengan kumpulan pengundi AS dalam menentang spektrum politik.
Penglibatan itu dibina dengan pemesejan polarisasi mengenai isu-isu seperti calon presiden AS, hak LGBTQ dan konflik Israel-Hamas, kata laporan.
Syarikat AI berkata, ia berjaya menggagalkan lima operasi pengaruh rahsia yang cuba menggunakan modelnya untuk aktiviti penipuan di seluruh internet pada Mei lalu.- REUTERS










