Nelayan sungai ‘terdampar’ musim kemarau, hilang mata pencarian

Nelayan sungai ‘terdampar’ musim kemarau, hilang mata pencarian

PARAS air Sungai Segamat yang cetek pada musim kemarau, menyukarkan nelayan mencari rezeki.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Sungai Segamat yang diibaratkan ‘lubuk emas’ bagi nelayan ikan air tawar, kini ‘sunyi’ berikutan paras air surut disebabkan musim kemarau.

Bukan sahaja nelayan, malah kaki pancing tidak kelihatan di beberapa lubuk yang sering menjadi tumpuan mereka sebelum ini.

Seorang nelayan, Mohammad Yahya, 50, berkata, keba­nyakan nelayan kini ‘bercuti’ dan menghabiskan masa dengan mengambil upah membaiki bubu, lukah, tajur, rawai dan jaring.

“Sudah lama saya dan beberapa nelayan tidak turun ke sungai berikutan air surut sehingga kelihatan beting pasir di beberapa kawasan di sini. Ini termasuk beberapa lubuk yang dahulunya terkenal dihuni spe­sies udang galah, ikan baung, lampam dan belida turut terkesan akibat kemarau.

“Musim kemarau mengakibatkan air sungai cetek serta permukaannya menjadi panas menyebabkan ikan dan udang ‘berhijrah’ sementara ke lokasi lain. Hanya itu sumber rezeki kami. Kami dapat rasakan tekanan dan beban untuk me­nyara keluarga semakin mening­kat semasa musim panas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Batu Badak, di sini.

Menurutnya, sebahagian nelayan yang berkemahiran akan menggunakan masa senggang itu untuk mengambil upah menjahit pukat bagi membiayai belanja dapur dan persekolahan harian anak-anak.

Selain pukat, Yahya turut mengambil upah membaiki lukah, jaring dan sampan.

“Jadi, ini sahajalah aktiviti kami, pagi petang siang malam mencari makan membaiki ja­ring atau sampan sementara menunggu musim kemarau berlalu.

“Kami harapkan pihak kerajaan dapat membantu dari segi pekerjaan alternatif atau kemahiran lain berkaitan nelayan yang dapat kami lakukan dari rumah sewaktu musim kemarau.

“Dapur tetap perlu berasap dan anak-anak perlukan duit poket ke sekolah setiap hari. Sungai adalah mata pencarian utama kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN