DHAKA: Ketua kerajaan interim Bangladesh, Muhammad Yunus, hari ini bertemu pemimpin Hindu Bengali selepas beberapa kuil, rumah dan perniagaan milik komuniti tersebut menjadi sasaran serangan vandalisme.
Kerajaan itu sebelum ini berikrar akan menghukum pelaku vandalisme yang merosakkan kuil serta sengaja mengakibatkan kebakaran kepada premis golongan minoriti berkenaan.
Malah, Muhammad Yunus mengutuk serangan itu yang disifatkan sebagai keji.
“Adakah golongan minoriti itu bukan rakyat negara ini? Sebagai mahasiswa, anda boleh menyelamatkan negara ini, namun mengapa tidak boleh menyelamatkan beberapa keluarga?
“Anda perlu katakan, tiada siapa boleh mencederakan mereka. Mereka adalah saudara kami, kita berjuang bersama dan akan kekal bersatu,” kata Muhammad Yunus ketika berucap di hadapan mahasiswa Universiti Begum Rokeya di Rangpur city, Sabtu lalu.
Menurut dua pertubuhan Hindu, Majlis Penyatuan Hindu Buddha Kristian Bangladesh dan Puja Udjapan Parishad Bangladesh, sebanyak 205 serangan dilaporkan terhadap komuniti mereka di 52 daerah sejak bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina meletak jawatan.
Selain vandalisme, sekurang-kurangnya dua pemimpin Hindu yang rapat dengan parti pimpinan Hasina, Liga Awami, terbunuh dalam keganasan selepas pemimpin wanita itu lari ke India.
Kelmarin, beberapa pertubuhan Hindu mendesak kerajaan sementara melindungi penganut Hindu di negara ini. – AGENSI










