LAGOS: Nigeria merekodkan 39 kes mpox sejak awal tahun ini, ketika kebimbangan memuncak terhadap penularan global berkait penyakit itu.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Nigeria, Jide Idris berkata, kes itu berlaku di seluruh negara dan tidak mencatatkan kematian.
“Sebanyak 39 kes disahkan daripada 788 kes yang disyaki dan tiada kematian direkodkan,” katanya kepada pemberita, kelmarin.
Minggu ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penyebaran strain baharu mpox yang lebih berbahaya, Clade 1b, sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa.
Ketua kumpulan kerja teknikal mpox Nigeria, Odianosen Ehiakhamen berkata, setakat ini negara itu hanya mencatatkan kes varian yang lebih ringan.
Beliau berkata, Nigeria mencatatkan kes mpox pertamanya pada 1971 dan mengesahkan kes setiap tahun sejak 2017.
Terdahulu, Sweden mengumumkan kes pertama di luar Afrika bagi varian mpox yang lebih berbahaya.
Agensi kesihatan PBB bimbang dengan peningkatan kes dan kematian di Republik Demokratik Congo, di mana sekurang-kurangnya 548 orang meninggal dunia tahun ini.
Negara yang sebelum ini tidak terjejas seperti Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda kini sudah melaporkan wabak, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika.- AFP










