PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tergempar jawatankuasa eksekutif di peringkat menteri luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi, hari ini.
Mesyuarat yang diusulkan Palestin dan Iran akan membincangkan jenayah kependudukan Israel berterusan terhadap rakyat Palestin, pencerobohan serta ancaman Israel terhadap kedaulatan Iran, kata kenyataan Kementerian luar semalam.
Mesyuarat itu akan dipengerusikan Menteri Luar Gambia sebagai pengerusi Sidang Kemuncak OIC ke-15.
Kata kenyataan itu, penyertaan Mohamad dalam mesyuarat itu akan memberi peluang kepada Malaysia untuk mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan besar-besaran di Semenanjung Gaza oleh rejim Zionis, termasuk pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran.
Malaysia terus memberi komitmen terhadap perjuangan rakyat Palestin dan usaha-usaha ke arah penubuhan Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya dan kemasukan Negara Palestin ke PBB sebagai anggota penuh. – UTUSAN










