BATU PAHAT: Jabatan Agama Islam Negeri Johor mendapati ajaran sesat Millah Abraham berisiko mengancam keselamatan dan keharmonian negara.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, ajaran haram itu bercita-cita mahu menubuhkan negara dan mempunyai kerajaan sendiri ala Millah Abraham.
“Hasil pemantuan dan risikan Jabatan Agama dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka mempunyai struktur sendiri dan sampai satu peringkat untuk menubuhkan negara dan kerajaan sendiri.
“Jadi, kita tidak mahu pertubuhan ini bercambah dan keahlian mereka bertambah kerana mereka boleh mencetuskan perpecahan dan keharmonian negara.
“Kita bimbang timbul kekecohan kerana mereka bercita-cita untuk menubuhkan sebuah negara ala Millah Abraham,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan ke-15 di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) di sini, semalam.
Mohd. Fared berkata, kepimpinan ajaran sesat Millah Abraham wujud di seluruh negara dan diburu pihak berkuasa bagi mengekang kumpulan itu.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai tidak menyimpan apa-apa bahan termasuk buku berkaitan Millah Abraham kerana ia menjadi kesalahan di bawah peruntukan undang-undang.
Ajaran Millah Abraham difatwakan haram di Johor.
Antara fahaman salah ajaran sesat itu ialah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli adalah tidak sah, selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan mempunyai syahadah berbeza.
Mereka juga cuba menggabungkan tiga agama membabitkan Yahudi, Nasrani dan Islam. – UTUSAN










