MBS guna kamera badan tingkat integriti

MBS guna kamera badan tingkat integriti

ANGGOTA penguat kuasa MBS mencuba kamera badan selepas majlis pelancaran penggunaannya di Wisma MBS, Seremban, semalam. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) melancarkan penggunaan kamera badan untuk penguat kuasanya bagi meningkatkan integriti dan keberkesanan penguatkuasaan.

Sebagai permulaan, sebanyak 12 unit kamera itu digunakan, menjadikan MBS merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Negeri Sembilan menggunakan kaedah kamera badan.

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, kamera itu mampu merakam video dengan kualiti tinggi dan akan digunakan sepanjang tempoh lapan jam anggota penguat kuasa bertugas.

Kata beliau, kamera badan itu perlu digunakan ketika operasi penguatkuasaan terancang seterusnya meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang.

“Banyak aduan diterima daripada orang ramai mengenai operasi penguatkuasaan yang dijalankan kami khususnya berkaitan integriti, kasar dan sebagainya. Oleh itu, kamera badan ini membantu kami menjawab aduan-aduan sebegini dengan bukti lebih jelas dan kukuh.

“Ia bukan sahaja dapat memberikan bukti yang boleh dipercayai dalam siasatan dan prosi­ding undang-undang, malah MBS juga telah menetapkan garis panduan yang jelas me­ngenai penggunaan, penyimpanan serta pengurusan data yang diperoleh melalui kamera badan ini,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan dan pemakai­an kamera badan kepada pe­nguat kuasa MBS di Wisma MBS di sini, semalam.

Masri berkata, pihaknya me­rancang menambah unit penggunaan kamera badan tersebut pada masa akan datang.

“Penggunaan kamera ba­dan ini melibatkan kos lebih RM100,000 dengan MBS menggunakan kaedah sewa guna dari­pada syarikat pembekal bagi tempoh kontrak selama dua tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN