Mayat kanak-kanak dijumpai di 'kawasan larangan'

Mayat kanak-kanak dijumpai di ‘kawasan larangan’

Kampung Kuala Mu gempar ekoran penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Rosli Mahadi, 48, terkejut apabila mayat anaknya ditemukan di kawasan berpaya di Kampung Kuala Mu dekat sini memandangkan lokasi tersebut sentiasa dijauhi oleh penduduk setempat.

Jasad Nuraina Humaira, 10, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu ditemukan pukul 4.20 petang Sabtu lalu selepas dilapor hilang ketika bermain di sekitar perkampungan terbabit, sehari sebelum itu.

Rosli berkata, lokasi penemuan mangsa yang terletak kira-kira 100 meter dari kediaman mereka itu ibarat ‘kawasan larangan’ bagi penduduk kerana dipercayai banyak haiwan buas terutama ular.

“Semasa dimaklumkan anak hilang, saya dan penduduk kampung membuat pencarian di belakang rumah dan keliling kampung, tetapi tidaklah sampai ke kawasan berpaya itu kerana orang kampung tidak pernah ke sana.

“Saya juga pasti anak saya tidak akan ke sana seorang diri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sungai Siput di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, maklumat berkaitan kehilangan mangsa diterima daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) selepas dikatakan tidak pulang sejak petang Jumaat.

Rosli memberitahu, dia dimaklumkan oleh orang kampung berkenaan kehilangan anaknya pada Jumaat petang sewaktu sedang bertugas dan terus bergegas pulang sebaik sahaja mendapat berita itu.

“Anak saya seorang pendiam dan rapat dengan keluarga. Kalau dia mahu ke mana-mana, dia akan maklumkan saya atau ibunya.

“Sekiranya anak saya meninggal dunia atas sebab perbuatan jenayah, saya berharap hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×