LONDON: Polis di United Kingdom (UK) diminta untuk meningkatkan perlindungan terhadap masjid di negara itu, berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan ia menjadi sasaran golongan pelampau sayap kanan.
Ini susulan selepas masjid menjadi sasaran perusuh di Southport dan Hartlepool di utara England awal minggu ini, dan keganasan tercetus di bandar lain di seluruh negara.
Keganasan tercetus selepas tiga kanak-kanak mati ditikam di Southport pada Isnin lepas.
Maklumat palsu yang diedarkan dalam talian mendakwa pelaku adalah seorang muslim yang mencari suaka.
Khamis lalu, mahkamah mengenal pasti pelaku sebagai Axel Rudakubana, 17, yang dilahirkan di Wales oleh ibu bapa berasal dari Rwanda.
Hakim yang mendengar kes itu, Andrew Menary KC berkata, sekatan melaporkan identiti Rudakubana kerana usianya perlu ditarik balik untuk menghalang mereka yang berniat jahat daripada terus menyebarkan maklumat palsu.
Namun, terdapat kebimbangan meluas dalam kalangan komuniti di seluruh negara bahawa penyebaran maklumat palsu sudah melampaui batas, menyebabkan risiko lebih besar kepada banyak masjid serta pencari suaka.
Pengarah di Mosque Security, Shaukat Warraich berkata, pihaknya menerima banyak panggilan untuk mendapatkan nasihat, selain ratusan orang memuat turun cadangan keselamatan dalam talian, akibat naratif anti-Muslim yang palsu disebarkan selepas pembunuhan di Southport.
The Guardian melaporkan, 19 perhimpunan sayap kanan dipercayai akan diadakan dalam beberapa hari akan datang di seluruh England, dengan demontrasi balas juga dirancang di London serta Liverpool.










